9 Februari 2006

Erti cinta lelaki



Perempuan sangat takut ditinggalkan kekasih ataupun suami disebabkan cinta lelaki adalah sumber harga diri yang paling utama kepada perempuan. Apabila seseorang perempuan yakin dirinya diingini oleh lelaki, dia berasa dirinya seorang yang sangat istimewa. Perasaan seperti itu menaikkan harga diri perempuan.

Cinta lelaki sememangnya meningkatkan harga diri perempuan. Ini berlaku sama ada lelaki itu kekasihnya, bukan kekasihnya mahupun suaminya. Apabila seseorang gadis tahu ada pemuda yang meminati dirinya maka dia berasa dirinya sungguh istimewa, meskipun dia tidak semestinya berminat membalas cinta pemuda itu.

Kesan peningkatan pada harga diri dialami oleh perempuan sama ada cinta itu dalam konteks perkahwinan ataupun bukan. Dalam konteks perkahwinan, inilah faktor yang menyebabkan perempuan amat takut kehilangan cinta lelaki. Apabila seseorang perempuan ditinggalkan oleh kekasihnya ataupun suaminya, dia akan mengalami rasa sedih, pedih dan amat terhina disebabkan dia sedar dirinya tidak diingini lagi oleh pasangannya.

Ramai perempuan menganggap keinginan seksual suami adalah bukti cinta suami kepadanya. Ia juga dianggap bukti bahawa suaminya masih mengingini dirinya, oleh sebab itu, bagi perempuan, selagi suaminya masih mempunyai keghairahan seks terhadapnya selagi itu dia percaya cinta suaminya masih ada. Itulah sebabnya apabila perempuan mendapati suaminya ghairah kepada perempuan lain, perkara itu mencetuskan rasa cemburu yang sangat kuat dalam dirinya. Bagi perempuan, apabila pasangannya mempunyai keinginan kepada perempuan lain perkara itu dianggap bukti pasangannya tidak lagi mencintainya.

Keghairahan lelaki kepada pasangannya ditimbulkan oleh banyak faktor. Keadaan rupa paras dan tubuh badan perempuan hanyalah salah satu daripada faktor-faktor itu. Satu lagi faktor lain yang sangat mempengaruhi nafsu seks lelaki kepada pasangannya ialah faktor emosi, iaitu perasaan 'suka dan seronok' terhadap perempuan itu. Perasaan suka dan seronok lelaki terhadap pasangannya ditimbulkan oleh ciri-ciri personaliti perempuan itu. Peranan faktor suka dan seronok sebagai pencetus keinginan seksual lelaki adalah lebih penting dibandingkan peranan rupa paras dan tubuh badan.

Walau bagaimanapun, kebanyakan perempuan percaya kecantikan tubuh badan dan kejelitaan rupa paras adalah faktor paling penting bagi merangsang nafsu seksual lelaki. Dengan sangkaan itu kebanyakan perempuan, sebaik-baik mereka mendapati pasangan mereka menjalin hubungan dengan perempuan lain, mereka itu cepat-cepat mengambil tindakan-tindakan drastik bagi memperbaiki penampilan mereka. Mereka cepat-cepat memperbaiki penampilan dengan cara-cara seperti berdiet bagi mengemaskan diri, menguruskan badan, mula belajar memakai mekap, menukar gaya berpakaian, pergi ke salun kecantikan untuk mengurut muka dan lain-lain seperti itu.

Mereka berharap, dengan memperbaiki penampilan fizikal keinginan seksual pasangan mereka akan marak semula dan dapatlah mereka menambat kembali hati pasangannya. Didorong oleh harapan itu mereka membuat pelaburan yang banyak cuba mendapatkan semula kecantikan mereka dan kalau boleh, menambahkan lagi kecantikan mereka.

Harapan palsu itulah yang menjadi modal utama kemajuan industri kejelitaan di seluruh dunia. Industri itu mengeksploitasi kelemahan perempuan. Ia menjual barang-barang kejelitaan dengan harga yang amat mahal kepada pelanggannya. Di sebalik barang-barang yang dijual itu, sebenarnya mereka menjual harapan palsu demi harapan palsu, kepada perempuan-perempuan yang salah sangka sama sekali mengenai perkaitan antara kejelitaan dengan cinta lelaki dan kebahagiaan.

Memanglah lelaki mementingkan rupa paras perempuan. Malah faktor rupa paras adalah faktor yang mula-mula berperanan mencetuskan minat dan keinginan seksual lelaki kepada seseorang perempuan. Tetapi peranan penampilan fizikal hanya amat penting pada peringkat paling awal perkenalan, sesudah itu tidak lagi. Tempatnya diambil alih oleh banyak faktor-faktor lain. Salah satu faktor yang lebih penting daripada rupa paras untuk menarik minat seksual pasangan ialah personaliti perempuan. Namun, lazimnya kebanyakan perempuan tidak peduli meningkatkan daya tarikan pada personaliti mereka. Malah ramai yang tidak peduli pun hendak memahami apa bendanya yang dikatakan 'personaliti' itu

1 Komentar:

Tanpa Nama berkata...

setuju..aku setuju seratus peratus!!

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons